Share |

Thursday, April 18, 2013

PKR Kapar ‘tolak’ G Manivannan, Dr Daroyah Alwi

Mereka mahu calon tempatan, Nedunchelian Vengu untuk kerusi parlimen dan Azizi Ayob DUN Sementa.

PETALING JAYA: PKR Kapar ‘menolak’ G Manivannan yang akan bertanding di kerusi parlimen itu pada 5 Mei ini.

Mereka juga tidak mahu seorang lagi calon luar – Dr Daroyah Alwi – yang diumumkan bertanding kerusi negeri Sementa.

PKR Kapar akan membuat bantahan secepat mungkin terhadap pemilihan Manivannan serta Dr Daroyah.

Dua calon PKR popular di kalangan penduduk Kapar ialah Nedunchelian Vengu, Timbalan Ketua Pilihan Raya PKR Cabang Kapar dan Azizi Ayob, Ketua Cabang PKR Kapar.

Manivannan merupakan seorang peguam berusia 34 tahun, manakala Dr Daroyah, Ketua Wanita PKR Shah Alam.

Nedunchelian memberitahu ada tangan ghaib yang menghantar dua calon itu ke Kapar, walaupun tidak berterus terang ia menjurus kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali serta Sivarasa.

Katanya, Kapar merupakan cabang yang menyokong Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

`Orang baru’

“Manivannan adalah calon baru, orang Kapar tidak kenal siapa Manivannan- Dia datang dari Subang tetapi orang Kapar tidak tahu di mana rumah mereka.

“Ini kroni S Sivarasa (Naib Presiden PKR), kerana dia bekerja di pejabat Sivarasa,” kata Nedunchelian.

Kerusi Kapar dimenangi calon PKR, S Manikavasagam selepas mengalahkan calon MIC K Komala pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun, pada pilihan raya kali ini, Manikavasagam diumumkan bertanding di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Bukit Melawati, parlimen Kuala Selangor.

Ketika ditemui di Kapar semalam, Nedunchelian berkata,” Kita kurang puas hati, saya ditolak, Azizi (Ayob) ditolak.

`Mahu calon tempatan’


“Kita mahu calon tempatan. Saya sepatutnya bertanding di parlimen manakala Azizi DUN Sementa.

“Orang di sini (Kapar) telah memanggil saya YB (Yang Berhormat). orang panggil Azizi YB,” tambahnya lagi.

Jumlah terbaru pengundi Kapar ialah 142, 416 orang dengan 52 peratus Melayu, 34 peratus Cina dan 12 peratus kaum India.

Pembahagian kerusi Pakatan Rakyat ialah Kapar dan Sementa untuk PKR dan Meru kepada PAS.

“Ada tangan yang terlibat dengan pemilihan calon Kapar ini. Kalau seorang calon anak tempatan dan seorang lagi orang luar, ini boleh diterima, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah kedua-duanya orang luar.

“Calon parlimen Kapar orang luar, calon kerusi Sementa pun luar. Ini rakyat tidak boleh terima” tambah Nedunchelian.

Tidak mahu mengundi

Seorang penyokong PKR, Mageswara Muniady 23 tahun mengugut jika Manivannan tetap dikekalkan sebagai calon, beliau tidak akan keluar mengundi pada 5 Mei ini.

“Saya akan menghalang rakan-rakan saya supaya jangan keluar mengundi,” katanya.

Mageswara berkata, jika PKR meletakkan calon tempatan, beliau pasti akan menang.

“BN orang tempatan, Bebas calon tempatan tetapi PKR orang luar? Kita tak nak muka ini.

“Apa pasal hantar orang baru, langsung tidak kenal. Ada masalah kita nak jumpa dia.

“Memang boleh cari orang sini (tempatan). Saya mahu orang tempatan, tidak pernah ada orang tempatan menjadi ahli parlimen di sini (Kapar),” katanya lagi.

Manakala Kunasegaran Subramaniam yang berumur 54 tahun pula menjelaskan orang tempatan mahu Nedunchelian menjadi calon parlimen Kapar dan Azizi calon Sementa.

“Kita sokong PKR tetapi mahu orang yang terdekat dengan kita,” tambahnya lagi.

No comments: